Sunday, January 9, 2011

IMAN DAN KEYAKINAN

…… antara sedar dan tidak, Attar melihat seorang lelaki gagah dan kuat datang mendekatinya. Waktu itu, dia sedang duduk bersandar pada sebatang pohon mangga yang sudah mati di pinggir sebuah tebing. Lelaki gagah tersebut memakai pakaian rapi dengan jubah berwarna keputihan melekat di badannya. Angin yang bertiup kencang membuat pakaian lelaki tersebut seperti melambai-lambai. Dia lalu menghulurkan tangannya untuk menggapai tangan Attar.
“Peganglah tanganku saudaraku, jika kamu ingin selamat!” katanya sambil mencondongkan sedikit badannya ke depan.
“Anda ini siapa?” Tanya Attar ragu.
“Nanti kujelaskan!”
“Tidak! Aku tidak ingin memegang tanganmu sebelum aku tahu siapa anda!” Attar menolak.
“Kamukan celaka, saudaraku! Lihatlah angin yang bertiup kencang dan di belakang kamu adalah jurang yang dalam. Dan tahukah kamu bahawa kayu tempat engkau bersandar itu sangat rapuh, kamu pasti akan terjatuh,” kata lelaki tersebut memperingatkan Attar.
Attar menengok ke belakang, tampak olehnya jurang yang dalam, bulu romanya berdiri. Sementara angin bertiup seperti mendorong-dorong tubuhnya, kayu tempatnya bersandar bergoyang-goyang, sesekali terdengar bunyi akar akan patah.
Attar segera bangkit dan berdiri, hampir sahaja dia jatuh jika lelaki tersebut tidak cepat menangkap tangannya dan menggendongnya ke tempat yang lebih aman dan nyaman. Tempat itu seperti sebuah lembah yang sangat subur. Aroma bunga semerbak memenuhi udaranya. Air yang jernih mengalir pada sebatang sungai kecil yang di kiri kanannya di tumbuhi berbagai-bagai macam buah. Sebuah vila kecil tepat di tengah kebun dengan pelayan-pelayan yang jelita dengan senyum yang memikat hati. Attar terkesima.
“Sebenarnya anda ini siapa? Kita ada di mana? Dan mengapa anda ingin menyelamatkan saya?” Tanya Attar setelah merasa agak tenang.
Lelaki tersebut tersenyum dan berkata, ”Baiklah, biar aku jelaskan,” dia lalu duduk di sebelah Attar. “Kamu tadi sedang berada di sebuah “Bukit Kehidupan”. Angin yang bertiup kencang itu adalah “Cubaan” yang kamu harus hadapi dalam mengharungi hidup ini. Jurang yang dalam itu adalah “Jurang Kegagalan”, dan batang tempat kamu bersandar adalah “Batang Keraguan dan Kesedihan” , sementara tempat kita berada sekarang ini adalah “Taman Kejayaan”.
 “Jadi anda ini siapa?”Attar ingin tahu.
“Apakah perlu aku perkenalkan diri?” Pancing lelaki itu.
“Aku ingin mengenali orang yang telah menolongku,” kata Attar pendek.
“Sebenarnya, aku sangat mengenalimu, Cuma terkadang kamu yang tidak mengenaliku. Aku sebenarnya tidak pernah jauh daripadamu, hanya saja kamu sering tidak memerhatikan aku. Begitu dekatnya aku dengan dirimu, sehingga hampir susah dipisahkan, namun terkadang engkau mengusirku sehingga aku harus pergi dengan perasaan sedih. Tapi, aku bukanlah orang yang pendendam, sehingga jika engkau panggil aku, dengan secepat kilat aku akan datang,” kata lelaki tersebut seraya menepuk paha Attar.
“Aku semakin bingung,” Attar setengah berbisik.
“Baiklah, biar aku katakan siapa diriku. Aku ini adalah “Iman dan Keyakinanmu”,” kata lelaki tersebut seraya berdiri.
” Aku pergi dulu! Fikirkanlah!!
~ bukit kehidupan, angin cubaan, bersandar pada tiang keraguan jika dia berharap di situ, tentu akan terjatuh dalam jurang kegagalan. Akan tetapi, jika dia menggapai tangan iman dan keyakinan, maka dia akan selamat sampai ke taman kejayaan ~
                                                         *Sudutan dari novel titian nabi *
Manusia tidak terlepas daripada ujian dan dugaan Allah. Setiap ujian dan dugaan diberi-NYA adalah berdasarkan kemampuan hamba-NYA. Hadapilah ujian dengan iman dan keyakinan, insyaallah akan berjaya mengharunginya.:)
“Bukanlah iman itu hanya dengan cita-cita tapi iman itu ialah keyakinan yang tertanam di dalam hati dan dibuktikan dengan amalan” hadith riwayat Ad-Dailami.

No comments:

Post a Comment